Thursday, October 23, 2008

Tuesday, October 21, 2008

Monday, October 20, 2008

BUMI TELAN KAUM LUTH


LUTH bin Haran bin Tarah (Azar) adalah anak saudara Nabi Ibrahim. Luth adalah antara orang beriman yang mengikut Nabi Ibrahim berpindah dari Babylon ke Palestin dan Mesir.

Kemudian Nabi Luth mendiami kota Sodom di wilayah Jordan. Namun, penduduk kota itu berakhlak keji, malah mereka derhaka dan kufur dengan nikmat Tuhan. Kegiatan merompak barangan yang dibawa kafilah dan mengunjungi pusat maksiat menjadi darah daging mereka. Lebih menjijikkan mereka mengamalkan liwat (homoseks).

Nabi Luth menasihati kaumnya supaya meninggalkan perkara maksiat, sebaliknya beriman kepada Allah, selain mengingati mereka mengenai azab yang bakal diturunkan jika terus bergelumang dengan perbuatan keji itu.

Kaumnya tidak pedulikan nasihat itu, malah berani memberi amaran kepada Nabi Luth: “Jika kamu tidak berhenti memperlekehkan kami, kami akan mengusirmu dari negeri ini.” Luth berkata: “Sesungguh aku mengingkari dan benci perbuatan yang kamu lakukan.”

Seterusnya mereka mencabar Nabi Luth dengan berkata: “Jika benar dengan azab yang kamu ancam ke atas kami, segerakanlah dan datangkan ia kepada kami.”

Mendengar perkataan mereka, Nabi Luth berdoa kepada Allah. Dalam al-Quran dijelaskan, maksudnya: “Luth berdoa, wahai Tuhanku, tolonglah aku dengan menimpakan azab ke atas kaum yang melakukan kebinasaan itu.”

Doa Nabi Luth diterima Allah, lalu diutuskan-Nya beberapa malaikat untuk menurunkan azab ke atas kaumnya. Sebelum itu, malaikat berkenaan mengunjungi Nabi Ibrahim dan memberitahu tujuan kedatangan mereka.

Nabi Ibrahim berkata: “Ya Allah, di dalam negeri itu ada Luth dan
bagaimana dengan beliau jika negeri itu dimusnahkan.”

Perkara ini dapat diperhatikan melalui al-Quran, maksudnya: “Berkata Ibrahim; sesungguhnya di kota itu ada Luth. Malaikat berkata: “Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. Kami akan menyelamatkan dia dan pengikutnya, melainkan isterinya, dia termasuk orang yang tertinggal, dibinasakan.”

Setelah mengunjungi Nabi Ibrahim, tidak berapa lama selepas itu malaikat dengan menyamar sebagai lelaki yang tampan pergi ke Sodom. Malaikat dengan wajah manusia itu silih berganti menjadi tetamu Nabi Luth.

Nabi Luth yang pada mulanya tidak mengetahui tetamu itu adalah malaikat berasa cemas kerana bimbang mereka yang berwajah lelaki begitu tampan itu menjadi mangsa kaumnya yang bernafsu gila, iaitu homoseks.

Namun, berita kedatangan tetamu (malaikat) itu diketahui kaumnya, lalu ramai kalangan mereka pergi ke rumah Nabi Luth, semata-mata untuk melakukan perbuatan terkutuk itu dengan tetamu Nabi Luth.

Apabila kaumnya berkumpul di pekarangan rumahnya, Nabi Luth cuba menghalang mereka daripada melakukan perbuatan terkutuk itu dengan menawarkan anak perempuannya untuk diperisterikan, supaya tetamunya itu tidak diusik.

Kaum Luth langsung tidak mengendahkan larangannya, malah berkata: “Sesungguhnya kamu tahu kami tidak mempunyai selera sedikit pun terhadap anak perempuan kamu. Sesungguhnya tidak ragu-ragu lagi, kamu tahu apa yang kami inginkan.”

Seketika keadaan di pekarangan rumah Nabi Luth kacau-bilau. Nabi Luth gagal mententeramkan kaumnya yang dahagakan hubungan sejenis daripada tetamunya itu. Tanpa berlengah malaikat yang menyamar sebagai tetamu itu terus membutakan mata mereka.

Perkara ini diceritakan al-Quran: “Dan sesungguhnya mereka telah memujuknya (agar menyerahkan) tetamunya (kepada mereka), lalu Kami butakan mata mereka, maka rasakanlah azab-Ku dan ancaman-Ku.”

Selepas itu tetamu berkenaan memperkenalkan diri kepada Nabi Luth mereka sebenarnya malaikat. Kedatangan mereka semata-mata untuk menghancurkan kaum Luth. Ketika itu juga Luth diminta membawa bersama ahli keluarganya keluar dari negeri berkenaan pada waktu malam.

Al-Quran memperjelaskan: “Utusan malaikat berkata; wahai Luth, sesungguhnya kami adalah utusan Tuhanmu. Sekali-kali mereka tidak dapat mengganggu kamu. Oleh itu, pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut kamu pada lewat malam. Dan janganlah ada seorang pun antara kamu yang
tertinggal, melainkan isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab kerana saat jatuhnya azab ke atas mereka adalah pada waktu Subuh. Bukankah Subuh itu sudah dekat?”

Kemudian azab yang ditunggu kaum Luth menimpa mereka. Kehancuran mereka pada waktu Subuh dalam keadaan sungguh dahsyat kerana bumi negeri itu diterbalikkan. Mereka turut ditimpa batu daripada tanah keras dan terbakar.

Al-Quran menyebut azab yang menimpa mereka: “Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras.”

Demikian balasan terhadap mereka yang melakukan homoseks. Berhubung
perkara ini, ada sebuah hadis Rasulullah yang diriwayatkan Imam Ahmad daripada Ibn Abas: “ Siapa yang kamu dapati melakukan perbuatan kaum Luth, bunuhlah orang yang melakukannya dan diperlakukannya.”

IBRAHIM DIBAKAR HIDUP-HIDUP






RAJA Namrud mati akal ketika berhujah dengan Nabi Ibrahim berikutan semua pertanyaan yang dikemukakannya kepada Ibrahim dijawab mengikut logik akal.

Bagaimanapun, Namrud yang mengheret Ibrahim ke muka pengadilan atas tuduhan menghancurkan berhala yang disembah kaumnya tetap mahu menghukum Ibrahim. Justeru, Namrud memerintahkan tenteranya supaya menangkap Ibrahim untuk dibakar hidup-hidup.

Rakyat dikerah mengumpulkan kayu untuk tujuan pembakaran itu. Ibrahim dicampak ketika api marak di hadapan orang ramai yang menyaksikannya dengan penuh gelisah.

Walaupun berada dalam api yang marak, Ibrahim tidak terbakar, malah dirasakannya bertambah sejuk. Keistimewaan luar biasa itu adalah mukjizat Allah kepadanya.

Sebagaimana firman Allah, bermaksud: “Wahai api, hendaklah kamu dingin dan selamatkan Ibrahim.”

Melihat Nabi Ibrahim masih terselamat daripada api yang menjulang tinggi, Raja Namrud semakin benci dan marah sehingga menganggap Ibrahim musuh besar dan dihalau dari Babylon (kini di Iraq).

Tanpa berlengah Ibrahim keluar dari negeri kelahirannya itu dan pergi ke Palestin. Beliau bertindak demikian berikutan sudah lama tinggal di Babylon, sedangkan bilangan orang beriman terlalu sedikit.

Di Palestin, beliau tinggal tidak lama kerana selepas itu beliau yang
ditemani isterinya Sarah, berpindah ke Mesir.

Ketika baru tiba di Mesir, Ibrahim menghadapi masalah kerana raja berkenaan mahu mengambil Sarah sebagai isterinya kerana terpesona dengan kecantikannya.

Apabila raja berkenaan mahu menyentuh Sarah, kaki dan tangannya dilumpuhkan Allah. Kemudian raja berkenaan bertaubat, tetapi diulanginya lagi perbuatan itu kali kedua dan ketiga, hingga dibutakan mata dan dilumpuhkan seluruh badan.

Akhirnya, raja itu insaf. Ibrahim dan Sarah kemudian hidup senang dengan nikmat berganda hingga menimbulkan perasaan dengki kalangan penduduk. Ini menyebabkan Ibrahim dan Sarah kembali ke Palestin semula.

Sementara itu, kerajaan Raja Namrud di Babylon menerima balasan dengan seksaan Allah kerana tidak beriman. Semua mereka yang ingkar, termasuk
Raja Namrud mati bergelimpangan selepas diserang nyamuk.

Berbalik kepada Ibrahim, ketika di Palestin, beliau berkahwin seorang lagi, iaitu dengan Hajar. Daripada hasil perkongsian hidup dengan Hajar, mereka dikurniakan Ismail. Daripada perkahwinan Ibrahim dengan Sarah, lahir Ishak.

Selepas itu, Ibrahim membawa Ismail dan Hajar ke Makkah. Mereka ditinggalkan di satu kawasan lembah yang tidak berpenghuni, tetapi menjadi laluan pedagang dan perkhemahan kafilah dari Yaman dan Syria.

Ibrahim sedih melihat keadaan itu. Justeru, sebelum meninggalkan dua beranak itu, Ibrahim berkata: “Wahai Hajar, semua ini dilakukan mengikut perintah Yang Maha Berkuasa, perintah-Nya tidak dapat dilawan, bergantunglah pada rahmat Allah dan yakin Dia tidak akan membiarkan kamu.”

Selepas itu, Ibrahim berdoa. Mengikut huraian al-Quran, maksudnya: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanaman, dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati.

“Wahai Tuhan kami dengan yang demikian itu supaya mereka (Hajar dan Ismail) mendirikan solat. Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah rezeki mereka daripada buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.”

Dengan perintah Allah, Ibrahim segera kembali ke Syam (Palestin) untuk hidup bersama Sarah. Tidak lama kemudian makanan dan minuman dua beranak itu (Hajar dan Ismail) habis, malah air susu Hajar kering.

Keadaan di kawasan yang gersang itu cukup menyedihkan. Mereka kehausan sehingga air mata berlinangan. Hajar bangun dan berlari ke Bukit Safa untuk mencari air.

Dari sana dia nampak bayangan air di Bukit Marwah, lalu berlari lagi ke sana. Pandangan itu mengecewakannya, tetapi melihat keadaan Ismail yang kehausan dia terus berlari antara Safa dan Marwah, tujuh kali.

Usaha itu tidak berhasil sehingga dua beranak itu tidak terdaya lagi untuk meratap. Pada ketika itu juga doa Nabi Ibrahim dimakbulkan Allah. Air jernih keluar dari bawah tapak kaki Ismail dan melihat perkara itu Hajar begitu gembira.

Mata air itu bertakung dan hingga sekarang dinamakan air zam-zam, manakala perbuatan Hajar berlari di antara Safa dan Marwah menjadi rukun haji,
dinamakan Sa’i.

Beberapa lama selepas peristiwa itu, Ibrahim mengunjungi Hajar dan Ismail di kawasan berkenaan. Beliau terperanjat setibanya di sana apabila mendapati kawasan yang dulunya gersang menjadi subur dan ditakungi air.

Mengikut al-Quran, menjelang hari terakhir riwayat Nabi Ibrahim, Makkah menjadi sebuah kota yang makmur. Ini disebabkan beliau berdoa kepada Allah: “Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini aman dan jauhkan aku serta anak cucuku daripada menyembah berhala.”

6 PERSOALAN HIDUP



Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al
Ghazali bertanya, pertama, "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia
ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman, dan
kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang
paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT
bahwa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Maksud ayat 185, Surah Ali
Imran)

Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua, "Apa yang paling jauh
dari diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab negara Cina,
bulan, matahari, dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa
semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar
adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita
tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini
dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran
Agama.

Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga, "Apa yang paling
besar di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, dan
matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar
dari yang ada di dunia ini adalah "nafsu" (Maksud ayat 179, Surah Al A'Raf).
Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa
kita ke neraka.

Pertanyaan keempat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?". Ada yang
menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam
Ghazali, tapi yang paling berat adalah "memegang AMANAH" (Maksud ayat 72,
Surah Al Ahzab). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak
mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di
dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah
SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak mampu
memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima adalah, "Apa yang paling ringan di dunia ini?". Ada
yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam
Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan "solat".
Gara-gara pekerjaan kita tinggalkan solat, gara-gara "meeting" kita
tinggalkan solat.

Lantas pertanyaan keenam adalah, "Apakah yang paling tajam di dunia ini?".
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang... Benar kata Imam Ghazali,
tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Karena melalui lidah, manusia
dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.


ASAL KEJADIAN MANUSIA



“APAKAH Engkau akan menjadikan manusia yang akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di dalamnya, sedangkan kami sentiasa bertasbih dan menyucikan Engkau,” demikian pertanyaan malaikat kepada Allah kerana terkejut dengan pengisytiharan-Nya yang mahu menciptakan Adam dan keturunannya sebagai khalifah di bumi.

Namun, selepas itu malaikat akur keputusan itu.

Kemudian Adam diciptakan, iaitu daripada tanah kering yang berasal daripada lumpur hitam. Daripada tanah, Allah menjadikan Adam berperingkat, kemudian meniupkan roh ke tubuhnya.

Akhirnya sempurnalah kejadian Adam sebagai manusia, merangkumi otak, darah dan daging, bebas bergerak dan bertindak mengikut kehendak dan akal fikiran.

Apabila penciptaan Adam sempurna, Allah memerintahkan semua malaikat sujud kepadanya sebagai memulia dan menghormatinya.

Perkara ini dapat dilihat melalui ayat 28 hingga 29 surah Yusuf, maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan-Mu berfirman kepada malaikat; sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia daripada tanah liat kering, daripada lumpur hitam yang diberi bentuk. Apabila Aku menyempurnakan kejadiannya dan meniupkan kepadanya roh (ciptaan) Ku, tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.”

Selepas itu Allah mengajarkan kepada Adam segala nama, yang menjadi asas ilmu pengetahuan sebagai bekalan hidup di bumi. Apabila Adam mendapat ilmu, Allah memperlihatkannya kepada malaikat, dia memiliki darjat yang tinggi dari segi ilmu berbanding malaikat.

Lalu malaikat berkata: “Sungguh kami menyucikan Engkau wahai Tuhan kami, kerana kami tidak mengetahui melainkan yang telah Engkau ajarkan kepada kami dan Engkau Maha Mengetahui segalanya, Maha Bijaksana dalam segala urusan yang Engkau ciptakan.”

Perkara ini dapat dilihat melalui surah al-Baqarah, ayat 31 hingga 33. Semua malaikat akur dengan perintah Allah dan sujud kepada Adam. Bagaimanapun, iblis dengan angkuh dan sombong enggan berbuat demikian.

Iblis memberikan jawapan kepada Allah kononnya dia lebih mulia daripada Adam. Menurut iblis, dia diciptakan daripada api, manakala Adam daripada tanah. Justeru, iblis menyangka dirinya lebih bermaruah dan mempunyai kedudukan tinggi daripada Adam. Melihat gelagat iblis yang bongkak itu, Allah melaknat iblis dan mengusirkannya dari syurga untuk selama-lamanya.

Hukuman itu menyebabkan iblis berdendam dengan Adam, lalu ia menyatakan permohonan kepada Allah supaya dipanjangkan usia sehingga hari kiamat. Iblis juga bersumpah untuk menyesatkan anak cucu Adam dari jalan yang benar, dengan mendatangi mereka (manusia) dari setiap penjuru untuk mengawasi kelemahan dan kecuaian mereka, sehingga mengheret ke lembah kesesatan dan derhaka kepada Allah.

Permohonan itu dikabulkan, namun Allah turut mengutuk iblis, melalui firmanNya: “Keluarlah kamu dari syurga ini dengan keadaan yang hina, kamu tidak akan mendapat rahmat-Ku dan Aku bersumpah akan memenuhi jahanam dengan kamu sekalian dan orang yang mengikutimu.”

Selepas iblis diusir dari syurga, Adam tinggal keseorangan dan pada satu ketika dia terlena. Ketika itu, Jibril mencabut tulang rusuknya di sebelah kiri, dibentukkannya menjadi daging dan tulang, seterusnya terciptalah Hawa, sebagai isteri. Perkara ini dinyatakan dalam surah al-Nisa, ayat 1.

Adam dan Hawa tinggal di syurga dengan segala kenikmatan. Namun, Allah melarang mereka dari mendekati sejenis pokok sekali gus menegah memakan buahnya. Mereka diberi amaran, jika melanggar larangan itu, mereka termasuk golongan yang zalim dan akan mendapat balasan daripada Allah.

Bagaimanapun, larangan itu tidak dipatuhi. Kemudian, semua pakaian dan perhiasan di syurga yang dipakai mereka terlepas, dengan tiada satu pun tertinggal, melainkan mahkota.

Sambil menangis, Adam menoleh kepada Hawa, lalu berkata: “Persiapkanlah dirimu untuk keluar dari sisi Allah. Inilah permulaan munculnya maksiat.”

Hawa menjawab: “Wahai Adam! Aku tidak pernah menyangka ada makhluk berani bersumpah palsu kepada Allah.”

Di syurga Adam sentiasa berlari kerana malu kepada Allah, sehingga Adam mengira azab Allah dipercepatkan, lalu dia menundukkan kepala dan berkata: “Ampun! Ampun.”

Lalu Allah berfirman: “Wahai Adam, adakah kamu melarikan diri dari-Ku?” Adam menjawab: “Tidak, tetapi aku malu kepada Engkau wahai Tuhan!”

Kemudian Allah mewahyukan kepada dua malaikat, supaya mengeluarkan Adam dan Hawa dari sisi-Nya, kerana telah menderhakai-Nya. Tanpa berlengah, Jibril melepaskan mahkota di kepala Adam, manakala Mikail mencabut mahkota di keningnya.

Selepas diturunkan dari tempat suci ke tempat yang penuh kelaparan, Adam menangisi kesalahannya selama seratus tahun. Dia sentiasa menundukkan kepala di atas kedua-dua lututnya, sehingga titisan air matanya membasahi bumi, menumbuhkan rumput dan pokok.

Wahab bin Munabbih menceritakan, Nabi Adam berada dalam kemurkaan Allah selama tujuh hari. Pada hari ketujuh Allah memanggilnya, kemudian memberikan wahyu kepadanya: “Wahai Adam, kesedihan apakah yang Aku lihat menimpamu hari ini? Bencana apakah menimpamu sehingga menyebabkanmu hanyut?“

Adam berkata: “Sungguh besar musibah, wahai Tuhan. Aku diliputi kesalahanku sendiri dan aku keluar dari kerajaan Tuhanku, sehingga aku berada di tempat kehinaan, sebelumnya aku berada dalam kemuliaan.

“Aku berada di tempat celaka, sebelumnya aku dalam kebahagiaan. Aku berada di tempat sukar, sebelumnya aku dalam kemewahan. Aku di tempat bencana, sebelumnya aku dalam keselamatan.

“Aku sekarang berada di tempat yang akn musnah setelah berada dalam ketenangan. Aku sekarang berada di tempat yang hancur setelah berada di tempat kekal abadi dan aku sekarang berada di tempat yang penuh penipuan setelah berada dalam keamanan. Tuhanku, tentu saja aku menangisi kesalahanku? Bagaimana mungkin aku tidak meratapi diriku sendiri?” Allah berfirman kepada Adam: “Bukankah Aku telah memilihmu untuk diri-Ku? Aku telah menghalalkan rumah-Ku untuk dirimu, Aku memilihmu atas semua makhluk-Ku, Aku mengkhususkan keramat-Ku terhadap dirimu, Aku mencurahkan kecintaan-Ku terhadap dirimu, Aku memberi peringatan kepadamu akan kemurkaan-Ku?

Bukankah Aku menciptakanmu sendiri, Aku telah meniupkan nyawa ke dalam tubuhmu, Aku memerintahkan malaikat supaya sujud dan bukankah Aku menjadikanmu sebagai pendamping-Ku di syurga-Ku.

Kamu menggunakan keramat-Ku sekehendakmu sendiri, sehingga kamu telah menderhakai perintah-Ku, kamu telah melupakan janji-Ku dan mensia-siakan wasiat-Ku? Bagaimana sekarang kamu akan memungkiri seksaan-Ku?

Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, seandainya bumi ini penuh dengan orang seperti kamu, di mana (mereka) sentiasa bertasbih malam dan siang tiada hentinya. Kemudian mereka menderhakai Aku. Aku akan memberikan tempat kepada mereka seperti tempat orang yang derhaka.

Sesungguhnya Aku mengasihani kelemahanmu, mengangkatmu dari kejatuhan, menerima taubatmu, mendengar permohonanmu yang tulus dan Aku mengampuni dosamu.”

Lalu disuruh-Nya Adam berkata: “Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau ya Allah dengan segala puji-Mu, aku telah menganiaya diriku sendiri dan aku melakukan kejahatan, terimalah taubatku. Sesungguhnya, Engkau Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Pengasih.”

Kemudian Allah mengirimkan kepada Adam sebuah khemah dan diletakkannya di tempat berdirinya Kaabah (sebelum Kaabah itu sendiri diciptakan). Di sanalah Adam tinggal dan seterusnya mengembangkan keturunannya.